Bijak Menabung: Fahami makna saham amanah
BEKAS juara tinju dunia, Muhammad Ali pernah berkata: Mereka yang takut mengambil risiko, tidak akan menempa kejayaan dalam hidup. Sememangnya hidup ini penuh dengan risiko, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa ada risiko boleh diurus!
Risiko yang boleh diurus antaranya adalah pelaburan dalam saham amanah. Sejak memulakan ruangan ini Ogos tahun lalu, banyak pertanyaan saya terima sama ada berbentuk pesanan ringkas ataupun e-emel bertanyakan apakah itu saham amanah. Ramai yang membuat andaian saham amanah itu hanyalah saham amanah yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti Amanah Saham Nasional (ASN) ataupun Amanah Saham Bumiputera (ASB). Tidak ramai yang mengetahui bahawa kebanyakan institusi perbankan di negara ini turut menawarkan saham amanah.
Saham amanah adalah antara alternatif pelaburan terbaik terutama apabila matlamat pelaburan adalah untuk kegunaan jangka masa sederhana (tiga ke lima tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun). Ini kerana saham amanah berisiko rendah yang diurus oleh pengurus dana professional, dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan badan pemegang amanah seperti Amanah Raya Berhad dan industri ini dipantau oleh Bank Negara Malaysia.
Risikonya menjadi tinggi apabila pelabur tidak mempunyai masa (kurang daripada tiga tahun) kerana secara umumnya kitaran pasaran saham (merudum dan meningkat) mengambil masa antara dua ke tiga tahun untuk pulih. Jika pelabur mempunyai tempoh berkenaan, pelaburan saham amanah ini tidak berisiko langsung!
Saham amanah bukanlah skim cepat kaya (yang diharamkan kerajaan), tetapi ia adalah satu pelaburan yang sah dari segi undang-undang dan mereka yang terbabit dalam bidang ini terutama perunding saham amanahnya perlu menduduki peperiksaan khas oleh badan induk industri ini, Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FUMTM) sebelum boleh menawarkan perkhidmatan ini.
Dana amanah ini dikumpulkan secara kelompok menerusi penggemblengan modal daripada individu ataupun syarikat ini, dilaburkan oleh pengurus dana dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk bon dan instrumen pasaran kewangan lain yang tidak mudah bagi individu kecil untuk menyertainya.
Saham amanah ini berbeza daripada pelaburan dalam pasaran saham biasa kerana dengan kadar minimum RM500, individu boleh membuat pelaburan sedangkan jika mereka membuat pelaburan dalam pasaran saham biasa, individu berkenaan memerlukan modal yang agak besar bagi membeli saham di bursa saham.
Peluang pertumbuhan dalam saham amanah ini juga jauh lebih besar dengan purata pulangan antara 10 hingga 15 peratus setahun bergantung kepada jenis dana pelaburan dipilih. Jika disimpan dalam akaun simpanan biasa ataupun simpanan tetap pulangannya antara satu ke tiga peratus dan pulangan yang rendah ini mudah terhakis oleh kesan inflasi dan cukai.
Sebilangan jenis saham amanah, modal pelabur kekal terjamin yang terikat tempoh tertentu, manakala ada dana memberi pulangan berganda menerusi tiga cabang pulangan iaitu keuntungan atas modal, dividen dan juga bonus. Kelebihan dana amanah ini adalah ia mempunyai kecairan yang tinggi, yang mana pelaburan ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa diperlukan.
Keupayaan mengeluarkan duit dalam tempoh lima hingga 10 hari waktu bekerja ini penting berbanding pelaburan saham di pasaran saham yang mana pembeli perlu menunggu harga dikehendaki baru boleh dijual.
Pelaburan saham amanah ini memang ada caj pengurusannya iaitu antara 0 hingga 6.5 peratus, namun bagi 15 dana teratas tahun lalu daripada Jun 2006 hingga Jun 2007, mampu memberi pulangan lebih 50 peratus setahun (sumber Bloomberg). Yang menarik antara 15 dana teratas itu, sembilan adalah daripada CIMB Wealth Advisors Bhd.
Jika ingin membuat pelaburan, sebenarnya mana-mana institusi pengurusan dana mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri dengan setiap dana itu mempunyai objektif pelaburan berbeza. Apapun jangan mudah terpedaya dengan laungan retorik ‘terbaik’ kerana berdasarkan analisis pelaburan, seperti pasaran saham setiap dana itu ada zaman turun-naiknya sendiri. Pelaburan dalam saham amanah itu perlukan kesabaran dan bukan bermatlamat untuk mendapat untung cepat.
Penting bagi pelabur untuk memahami apakah itu saham amanah dan mekanisme saham amanah itu sendiri. Sebelum membuat sebarang pelaburan, dapatkan maklumat lanjut terlebih dulu daripada perunding saham amanah bertauliah selain perkhidmatan sampingan lain yang ditawarkan. Pastinya anda tidak mahu pelaburan anda itu menyukarkan ahli keluarga membuat tuntutan tanpa penama pewaris dalam pelaburan. Justeru, buat pilihan bijak!
***Artikel ini ditulis oleh Perunding Kewangan, Inspired Vision Agency, Kelana Jaya, Suraiya Mohd Nor.
P/S:- Suraiya adalah salah seorang perancang kewangan dari CIMB Wealth Advisors cawangan sama dengan saya.Di harap artikel ini dapat membantu anda utk memahami lebih lanjut apakah itu unit trust atau pun apakah itu dana amanah atau saham amanah.
Tuesday, June 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment